Thursday 19 April 2012

Haiwan Juga Berkata-kata

Semalam, saya diberitakan dengan dua kisah. Kisah seekor haiwan bergelar kucing. Seumur hidup sungguh saya tak pernah mendukung haiwan tersebut, apatah lagi bermanja dengannya. Mungkin kerana keluarga saya tidak pernah memelihara kucing. Namun, saya bukanlah fobia seperti orang lain (orang yang terus membuka langkah seribu apabila melihatnya..hehe *ditujukan kepada miss z) Hakikatnya, wujud segelintir manusia penyayang di dunia  yang menganggap kucing seperti ahli keluarga mereka sendiri. Subhanallah..sungguh mulia hati mereka kan.

Seorang sahabat saya berdukacita kerana kucing peliharaannya meninggal dunia. Melihat gayanya yang teresak-esak seperti kehilangan orang tersayang. Rupa-rupanya dia mendapat berita buruk bahawa Owyen telah tiada. Owyen ialah anak kucing yang baru berusia dua bulan dan mereka sekeluarga telah menjaganya sejak Owyen lahir. Kisahnya, Owyen telah digigit oleh kucing jiran. Setelah pulang, dia kelihatan sungguh lemah dan jatuh sakit. Ibu dan bapanya terus menghantar Owyen ke hospital haiwan untuk mendapatkan rawatan. Owyen ditahan di wad selama dua hari. Namun, setelah dua hari doktor mengkhabarkan bahawa Owyen terpaksa mendapatkan rawatan lagi untuk tempoh dua minggu. Dua hari tanpa Owyen hidup mereka sekeluarga tidak seceria dulu. Masing-masing sentiasa mengharapkan kepulangan Owyen. Malangnya, tanpa disangka-sangka, mereka mendapat berita yang lebih buruk, Owyen telah pergi. Saat ingin mengebumikan Owyen, mereka masih berharap agar Owyen sedar kembali. Subhanallah..mereka benar-benar melayan Owyen seperti seorang manusia..Saya pasti, mungkin kini Owyen juga sedang menanti tuannya di syurga dan ingin membalas jasa baik yang telah mereka curahkan buatnya di dunia.


Kisah kedua..

Tiba-tiba pada malam tadi saya melihat kewujudan seekor kucing di bilik seorang junior. Kucing tersebut sedang tidur sambil berselimut di katilnya. Kebetulan semalam hujan. Saya berandaian bahawa dia kasihan melihat kucing tersebut menggigil kesejukan lalu membawanya naik. Rupanya, masih ada cerita lain yang diberitakan kepada saya. Sebenarnya, kucing tersebut mempunyai dua ekor anak yang baru dilahirkan beberapa bulan lepas. Namun, semenjak dua tiga hari ini, anak dia telah tiada. Mungkin telah dibuang atau diletakkan di tempat lain oleh pekerja asrama. Bak kata junior tersebut, punca utama mereka dipindahkan mungkin kerana  sering membuang air di merata tempat. Maklumlah, masih kecil belum pandai mengurus diri. Namun, ibunya tidak pula dihantar sekali. Confuse juga.. Setiap hari, sebelum ke kelas atau waktu pulang dari kelas, adik ini pasti menjenguk dahulu keluarga kucing tersebut. Tetapi, sejak dua ekor anak tersebut tiada, yang dilihat hanyalah si ibu mengiau-ngiau seakan-akan memanggil anaknya pulang. Tingkah si ibu nampak berlainan benar menandakan dia sangat merindui anak-anaknya. Adik yang baik hati ini seakan memahami perasaan ibu kucing tersebut. Dibelai dan dibawa kucing tesebut tidur bersamanya sebagai pengubat duka.


Hakikatnya, setiap makhluk di dunia ini punya perasaan dan mereka juga pandai berkata-berkata. Mungkin yang membezakan kita hanyalah bahasa. Sedangkan orang Jepun tidak faham bahasa Hindi, apatah lagi manusia untuk memahami bahasa kucing. Kalau ada mungkin sekadar bahasa tubuh. Apa pun marilah kita berbuat baik sesama makhluk kerana kelak amalan dan bukti daripada mereka juga akan memberatkan timbangan mizan..  

Moga Allah memberkati golongan mereka yang sedikit ini..

No comments:

Post a Comment