Perjalanan menaiki kereta pada hari itu dirasakan agak lama.
Sambil mendengar abah asyik bercerita, ku lemparkan pandangan ke luar tingkap
melihat keindahan alam dunia. “Benarkah apa yang aku dengar? Masih wujud insan
sedaif itu dalam zaman sekarang? Tak sangka! Aku tak pernah prihatin terhadap
masyarakat. Malu lah Iman!” Ahh, tepat terkena pada batang hidung sendiri.
Lembut
abah menuturkan kata, “Kakak nak tau? Suatu hari, ketika abah dalam perjalanan
ke pejabat, abah nampak seorang pak cik tua dalam lingkungan umur 60-an
berjalan kaki dalam kawasan UiTM. Abah nampak pak cik tu berjalan mendaki bukit
dan jalan yang sama abah lalu hari-hari. Sebenarnya, dah seminggu abah perasan
akan kehadiran pak cik tu, tapi takdir Allah pada hari tu abah berpeluang untuk
tumpangkan dia dan sembang serba sedikit dengannya.”
Ya,
abah adalah seorang pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
Kebanyakan UiTM memang dikenali dengan luasnya kawasan dan berbukitnya jalan.
Abah sambung cerita lagi, “Rupanya pak cik tu tinggal kat Kuala Selangor.
Setiap hari, dia akan berjalan kaki dan menaiki bas untuk sampai ke tempat
kerja. Dari rumah ke stesyen bas dia akan berjalan kaki dalam lingkungan 20
minit. Kemudian, perjalanan menaiki bas mengambil masa lebih kurang dalam satu
jam. Bas tu pula akan berhenti kat pintu depan UiTM sahaja. Selebihnya dia
terpaksa berjalan kaki lagi untuk sampai ke tempat kerja. Mugkin itu lah yang
abah nampak hari-hari, dia berjalan kaki dalam kawasan UiTM itu sendiri dengan
badan dan tenaga yang semakin dimamah usia. Kakak boleh bayang tak agak-agak
pukul berapa hari-hari dia keluar rumah untuk pergi bekerja dan sampai rumah
usai siap semuanya?”
Fuhhh
termenung panjang aku kira pukul berapa pak cik itu bertolak dan sampai
rumahnya. “Tak sangka kan, tatkala majoriti rakyat Malaysia sudah berkenderaan
masih wujud juga golongan yang berjalan kaki dan menaiki kenderaan awam.
Ingatkan mat-mat Bangla dan minah-minah Indon sahaja yang menaiki bas. Hampir
empat dekad pula pak cik tu menempuh perjalanan yang sama hari-hari untuk
mencari rezeki yang halal demi sesuap nasi. Mahu bergenang juga air mata
apabila terbayang kesusahan pak cik itu.”
Buat
seketika, aku mendiamkan diri. Banyak perkara yang menerawang di fikiran.
“Agaknya macam mana lah keadaan anak-anak pak cik tu? Cukupkah makan pakainya?
Bagaimana lah status pendidikannya? Dan paling penting, adakah mereka membesar
sebagai seorang yang mendengar kata? Mesti perit seorang ibu bapa untuk
membesarkan anak dengan sempurna dalam keadaan serba kekurangan. Hmmm.” Aku
mengeluh sendirian.
Tiba-tiba
aku terbayang beberapa peristiwa semasa aku masih berada di Tahap 2 sekolah
rendah. Tiap kali loceng berbunyi menandakan waktu persekolahan sudah tamat,
aku akan bergegas turun ke pagar sekolah menanti kedatangan abah. Pernah
sekali, waktu persekolahan tamat pada pukul 12.40 petang. Tunggu punya tunggu,
abah tak juga muncul. Aku sudah mula menarik muka masam dan muncung panjang
apabila melihat abah sampai setengah jam kemudian. Dalam hati sudah mula terasa
penuh dengan amarah lebih-lebih lagi apabila masa untuk aku bersiap solat dan
mandi sebelum ke kelas mengaji semakin singkat. “Semuanya salah abah sebab
ambil lambat!” Tak henti-henti aku mengomel dalam hati. Melihat kan anak
daranya tak seceria seperti selalu, apabila pulang ke sekolah tak putus
celotehnya untuk bercerita tentang apa yang berlaku hari ini, abah mula membuka
bicara.
“Kakak marah abah ke sebab ambil lambat? Abah
minta maaf. Abah bukan sengaja. Kebetulan tadi abah ada meeting dan meeting tu
pula habis lambat. Dari pukul 12.40 lagi abah dah tau abah kena ambil kakak
tapi abah tak dapat nak elak untuk keluar meeting. Abah minta maaf ye sayang. Lain kali abah akan
cuba untuk ambil kakak tepat pada waktu ye.” Hati baranku masih belum cukup
lega dengan penjelasan abah. Aku masih tetap membisukan diri. Melihatkan aku
yang tidak berubah riak, abah sambung cerita lagi. “Kakak tau tak, dulu masa
abah kecil-kecil abah pergi sekolah naik bas je. Masa tu bas tak banyak.
Kitorang terpaksa berebut-rebut naik bas sebab sekolah jauh, sampaikan abah tak
naik lalu pintu depan, abah lompat masuk guna tingkap. Masa tu abah kena jaga
pak long lagi, pastikan dia naik sama, sebab ye lah pak long kan bisu dan
pekak. Waktu nak balik pulak, kalau dah tertinggal bas alamatnya kena balik
jalan kaki lah. Pernah sekali, abah asyik main bola dengan kawan-kawan masa nak
tunggu bas datang, abah tak perasan yang bas tu dah pergi. Bila kawan tegur
barulah abah sibuk nak kejar bas tapi tak dapat. Terpaksalah petang tu abah
dengan pak long balik jalan kaki. Kitorang sampai rumah bila azan maghrib dah
bunyi. Sampai-sampai, abah kena marah lagi dengan nenek. Abah cuma nak cakap,
kakak beruntung. Sebab sekarang kakak tak payah pun pergi sekolah naik bas atau
balik jalan kaki. Abah yang akan hantar dan ambil kakak balik sekolah. Sebab
apa? Sebab abah sayangkan anak abah yang seorang ni. Tak kan abah nak biarkan
kakak jalan kaki sorang-sorang panas-panas. ” Kata-kata terakhir abah ucapkan
sambil mengukir senyuman. Tatkala mendengar perkataan ‘sayang’, kelopak mataku
secara automatik penuh bergenang. Hati anak mana yang tak tersentuh apabila
seorang bapa mengungkap kata sayang.
Kini,
aku sedar mengapa abah berusaha sebaik mungkin untuk memberikan segala yang
terbaik untuk aku. Mungkin abah banyak reflek dengan zaman remajanya dahulu.
Usai tamat sekolah menengah, ibu bapanya tidak pernah menggalakkannya untuk
belajar tinggi-tinggi. Kata mereka, memadailah masuk maktab dan keluar menjadi
guru. Yang penting, ada kerja dan dapat gajinya nanti. Namun, dek kerana
kemahuannya menuntut ilmu, abah sambung pengajian ijazahnya tatkala sudah
berumah tangga. Tak cukup dengan itu, umi dan abah sudah punya cahaya mata
untuk dibesarkan. Cuma masa itu, bukan aku yang dilahirkan. Pengorbanan umi dan
abah ketika itu sangat tidak ternilai harganya. Umi terpaksa tinggal bersama
keluarga sementara abah bergelar pelajar dan tinggal di asrama. Suatu ketika,
aku terbaca surat yang umi utuskan buat abah. Umi terpaksa mengadu mengalami
masalah kewangan sehinggakan susu anak pun tak mampu untuk dibeli kerana segan
untuk meminta wang pada atuk dan nenek lagi. Walhal umi tau, hidup abah juga hanya
bergantung pada elaun sara hidupnya sebagai seorang pelajar. Tak lebih dari
itu. Semenjak hari itu, abah mula berusaha untuk mencari lebih wang saku. Namun
apa kan daya itu lah harga yang perlu dibayar demi menggapai sebuah kejayaan
dan memastikan hidup anak-anak cerah pada masa hadapan. Sumpah, tak berhenti
air mataku mengalir apabila membaca warkah itu.
Namun,
aku sedar, usaha abah bukanlah suatu yang sia-sia dan pengorbanan umi bukanlah
tidak bermakna. Kehidupan kami menjadi semakin baik dari sehari ke sehari dan
kini abah juga dalam usaha untuk menamatkan PHDnya. Benarlah kata pepatah,
tuntutlah ilmu hingga ke liang lahad. Tak perlu memandang jauh, aku dapat
melihat contoh dalam kehidupan seharian sendiri. Tak hairanlah sejak dari
kecil, abah sudah mula menanamkan benih cita-cita untuk menjadi seorang doktor
dalam diriku. Dia tak mahu aku hilang arah tuju. Sebaliknya, dia mahu aku punya
cita-cita dan impian sendiri. Hidup bermatlamat adalah seribu kali lebih baik
daripada hidup tidak bermatlamat. Dia juga tidak mahu pisang berbuah dua kali, iaitu
sedar akan kesalahan tatkala diri sudah meningkat usia. Kini, aku sangat yakin
dan pasti bahawa perlunya belajar untuk hidup, bukannya hidup untuk belajar.
Dan yang paling penting, sentiasa tajdid niat lillahitaala. Abah, segala
nasihat dan pesananmu akan ku genggam kemas!
Sebenarnya kisah di atas adalah cerpen yg dihantar untuk satu pertandingan. Dan kalau perasan, kisah yg sama telah dicoretkan dalam salah satu post yg terdahulu.
No comments:
Post a Comment